RENCANA
ARKIB : 14/05/2014
Guru dan cabaran semasa
Oleh DR. AMINUDIN MANSOR
DENGAN memperkasakan peranan guru akan melahirkan modal insan
berkualiti. Itulah adalah antara tujuan terpenting dalam usaha
memberikan insentif kepada bidang pendidikan di negara ini.
Oleh itu, dalam melahirkan modal insan peranan kerajaan dan guru adalah menjadi tonggak utama ke arah kejayaannya.
Dalam era globalisasi guru perlu menghadapi cabaran semasa dalam
proses pendidikan antaranya berkaitan integrasi nasional,
pendemokrasian pendidikan, tonggak pendidikan, globalisasi dalam
pendidikan, kepelbagaian budaya, pengaruh perkembangan teknologi
maklumat dan komunikasi serta gejala sosial dalam kalangan pelajar
merupakan antara cabaran terbesar yang dilalui dan diuruskan oleh pihak
guru.
Justeru, kerajaan tidak mengambil mudah dan memandang ringan usaha
memperkasa peranan guru dengan memberikan latihan, kursus, ceramah dan
juga motivasi supaya dapat memberikan kesan kepada pelajar melalui
pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah.
Usaha mentransformasikan profesion keguruan menjadi profesion pilihan
sedang dilaksanakan dengan mengetatkan syarat kemasukan guru mulai 2013
supaya terdiri daripada kalangan graduan 30 peratus teratas.
Kajian pada 2011 menunjukkan bahawa Malaysia disenaraikan di tempat
ke-11 oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai negara paling menarik dari segi
perkhidmatan pendidikan.
Seterusnya, kajian itu juga mendapati kira-kira 90,000 pelajar
daripada 130 negara yang sedang menyambung pengajian di negara ini.
Sebahagian besar pelajar asing ini berasal dari China, Indonesia, Iran
dan Nigeria. Ini membuktikan Malaysia tempat paling menarik dan sesuai
untuk menyambung pengajian di peringkat tinggi.
Bagi memperkasa pendidikan negara, Melalui Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 sebanyak RM500 juta peruntukan
diluluskan meliputi program meningkatkan kemahiran guru Bahasa
Kebangsaan, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains dan penubuhan Education
Delivery Unit (EDU).
Sebagai guru pemahaman terhadap hasrat dan tujuan PPPM sangat penting
bagi merealisasikan dan mewujudkan kecemerlangan dalam sistem
pendidikan negara.
Ibu bapa meletakkan harapan tinggi dan majikan menyuarakan
kebimbangan atas keupayaan sistem pendidikan melengkapkan generasi muda
dengan persediaan secukupnya bagi menghadapi cabaran abad ke-21.
Menyedari hakikat bahawa sistem pendidikan adalah kompleks dan rencam,
tempoh yang panjang diperlukan untuk melihat impak transformasi yang
dilaksanakan.
Ini juga memastikan setiap murid dan pelajar menguasai kemahiran
dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dan digalakkan mempelajari
bahasa tambahan. Di samping itu mentransformasikan profesion keguruan
menjadi profesion pilihan. Ini antara dua daripada 11 anjakan untuk
transformasi sistem.
Kejayaan dan kecemerlangan murid dan pelajar banyak bergantung pada
kehebatan P&P guru di dalam kelas. Jika guru dapat menyampaikan isi
pengajaran dengan baik dan berkesan murid dan pelajar mudah memahaminya
serta dapat menjawab soalan dalam peperiksaan dengan cemerlang.
Sebanyak 11 anjakan utama untuk mentransformasikan sistem pendidikan
negara dalam PPPM dan juga teras dan dasar pembangunan insan mestilah
difahami oleh semua terutama guru sebagai pelaksana dalam pendidikan
anak bangsa bagi memperkasa generasi muda pada masa depan.
* Melaksanakan penambahbaikan terhadap sistem penyampaian pendidikan
dan latihan supaya ia berkualiti dan relevan dengan keperluan semasa;
* Memperkasakan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan utama
rakyat Malaysia yang berbilang kaum bagi meningkatkan perpaduan negara
* Melaksana langkah bagi merapatkan jurang prestasi antara sekolah
luar bandar dan bandar, termasuk mempertingkatkan kualiti pengajaran,
prasarana dan kemudahan serta menempatkan guru berpengalaman di sekolah
luar bandar;
* Membangunkan universiti bertaraf antarabangsa dan memastikan
pendidikan dan latihan di peringkat tertinggi memenuhi keperluan
pasaran;
* Menyediakan lebih banyak peluang dan akses kepada pendidikan
latihan dan pembelajaran sepanjang hayat yang berkualiti di semua
peringkat;
* Membangunkan masyarakat inovatif dan kreatif, yang mempunyai
pengetahuan dan keupayaan sains dan teknologi yang kukuh serta memiliki
kemampuan memperoleh dan menggunakan pengetahuan;
* Memperkukuhkan perpaduan nasional dan membangunkan masyarakat yang
mempunyai perspektif progresif, budaya prestasi tinggi, sistem
nilai-nilai murni serta menghargai tradisi dan warisan; dan
* Memperluaskan dan memperkemaskan forum perbincangan dan perundingan
antara kerajaan, sektor swasta, ibu bapa dan masyarakat dalam
pembangunan modal insan.
Oleh itu, pihak kerajaan sebagai badan perancang utama menyediakan
bajet dan peruntukan untuk membangunkan modal insan. Manakala para guru
adalah pihak yang akan melaksanakan tujuan ke arah membangunkan modal
insan yang berkualiti untuk pemimpin negara pada masa akan datang.
Ingatlah bahawa guru yang paling baik adalah guru yang paling banyak
belajar daripada muridnya. Tujuan tertinggi perguruan bukanlah
semata-mata untuk mencari ilmu pengetahuan, tetapi mendidik muridnya
dengan perbuatan yang baik dalam kehidupan.
PENULIS ialah Pengamal media, berkelulusan PhD Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.